|
|
Newpaper
Cut
Agama
sebagai ubat penyakit sosial
| |
Utusan Online
2 November 2006
10 Syawal 1427
Oleh ROMELAH HARUN
KEBIMBANGAN Ketua Pengarah Institut Kefahaman
Islam Malaysia (IKIM) mengenai kemungkinan negara
menuju kehancuran jika gejala sosial di kalangan
belia tidak ditangani mesti dikongsi bersama oleh
rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
Segala pelan pembangunan negara, Rancangan Lima
Tahun Negara dan Wawasan 2020 akan hancur jika
kes-kes juvana tidak dibendung atau diperangi
habis-habisan tanpa toleran dan kompromi.
Oleh kerana punca berlakunya gejala sosial adalah
kerana kurang sempurna didikan agama, bererti
ibu bagi punca segala penyakit sudah pun dikenal
pasti, sekali gus pasti akan cukup mudahlah untuk
diubati, untuk diatasi. Susah atau senang, manis
atau pahit, maka agama mesti digunakan untuk berperang,
mencegah dan membanteras penyakit dan gejala sosial.
Sistem pendidikan mesti dikaji dan dikemas kini.
Barangkali perlu dicadang, diperdebat, dibahas
dan diwacanakan pada kadar segera, sebelum nasi
menjadi bubur.
Antaranya jadual yang mesti diatur ialah para
belajar diwajibkan belajar di sekolah biasa pada
sebelah pagi dan bersekolah agama, termasuk mengaji
al-Quran dan hadis di waktu petang. Mempelajari
al-Quran dan hadis bukan setakat dari segi bacaan
supaya betul tetapi juga boleh memahami isi kandungannya
sehingga boleh ditafsir sedalam-dalamnya.
Dengan kata lain dari peringkat prasekolah hingga
ke sekolah menengah, para pelajar perlu dipastikan
memenuhkan masa mereka dengan jadual dan program
berkaitan pembelajaran mengenai ilmu-ilmu dunia
dan akhirat.
Sebenarnya sudah sampai masanya untuk negara memprogram,
merencana, merangka supaya setiap warganya bukan
sahaja kaya dengan ilmu keduniaan tetapi juga
ilmu akhirat.
Seorang pakar dalam bidang kejuruteraan misalnya
mesti juga mahir dalam ilmu al-Quran, hadis, fikah,
tasawuf, usuluddin, tafsir, sirah dan sebagainya.
Manakala imam-imam atau pegawai-pegawai agama
pula tidak hanya alim tentang al-Quran, hadis
dan pelbagai hukum hakam tetapi mereka juga pakar
dalam matematik, sains, geografi, ekonomi, politik,
sosial, perubatan, kejuruteraan, fizik, biologi,
kimia dan sebagainya. Biarlah bila imam sesebuah
masjid uzur umpamanya, maka seorang profesor boleh
menjadi imam gantian dan menyampaikan khutbah
Jumaat.
Jika usaha yang mungkin dianggap payah dan mustahil
untuk menjadi realiti ini diikhtiarkan tanpa rasa
jemu dan mudah menyerah kalah. Maka selain daripada
masalah sosial dapat dibendung bilangan anggota
polis juga boleh dikurangkan.
Negara juga mungkin akan dapat lahirkan tokoh-tokoh
setaraf dengan Ibnu Khaldun, Said Nursi, Ibnu
Battutah dan para ilmuwan Islam yang bertanggungjawab
kepada ketamadunan kepelbagaian ilmu.
Mereka inilah yang akan menyumbang kepada pembentukan
bangsa dan negara yang cemerlang, gemilang dan
terbilang. |
|
|