| Bismillahi Rahmani Rahim
Yang dirahmati Allah, ibu-ibu, bapa-bapa dan anak
didik-anak didik Madrasah Al-Wahidah di Bukit Sekilau, Jalan Beserah
dan Taman Siok Tong, Kuantan.
Assalamualaikum w.b.t
Mudirah mulakan dengan mengucap syukur kepada
Illahi di atas limpah kurniaNya yang memanjangkan usia kita sehingga
ke hari ini. Mudirah serta seluruh warga Madrasah Al-Wahidah mendoakan
agar usia kita sentiasa diberkati serta dengan sifatNya Yang Maha
Pemurah menganugerahkan kita sihat sejahtera, fizikal dan mental.
Pada tahun baru ini, marilah kita tambahkan azam untuk meneruskan
hidup dengan berbakti kepada agama Allah Yang Maha Suci, kepada
bangsa yang kita cintai dan tanah air yang kita sayangi.
Bagi ibu-bapa yang memilih institusi ini sebagai
tempat pendidikan awal anak-anak, mahu pun sebagai tempat anak-anak
menyambung, melengkap dan menambah ilmu pengetahuan, maka dengan
penuh rasa kesyukuan Mudirah merakamkan ribuan terima kasih dan
setinggi-tinggi penghargaan. Semoga Allah s.w.t terus memberikan
kami daya usaha, idea dan kreativiti agar dapat kami berikan pendidikan
yang terbaik mengikut kurikulum yang kami gubal, susun dan cipta
sendiri berdasarkan hasil penyelidikan kami berpandukan kurikulum
Kementerian Pelajaran Malaysia yang terkini, InsyaAllah.
Kepada anak didik-anak didik lama, Mudirah serta
seluruh warga Madrasah Al-Wahidah menyambut baik kedatangan anak-anak
dengan gembira. Kepada anak-anak yang pertama kali melangkah kaki
ke Madrasah Al-Wahidah, Mudirah serta warga Madrasah Al-Wahidah
mengucapkan selamat datang, selamat belajar, semoga boleh belajar
serta menimba ilmu di Madrasah Al-Wahidah dengan seronok dan seberapa
banyak yang boleh. Selamat Maju Jaya!
Wassalam.
Mudirah.
|