KERATAN AKHBAR
|
Utusan Online Agama sebagai ubat penyakit sosial KEBIMBANGAN Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) mengenai
kemungkinan negara menuju kehancuran jika gejala sosial di kalangan belia
tidak ditangani mesti dikongsi bersama oleh rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Segala pelan pembangunan negara, Rancangan Lima Tahun Negara dan Wawasan
2020 akan hancur jika kes-kes juvana tidak dibendung atau diperangi habis-habisan
tanpa toleran dan kompromi. Oleh kerana punca berlakunya gejala sosial adalah kerana kurang sempurna
didikan agama, bererti ibu bagi punca segala penyakit sudah pun dikenal
pasti, sekali gus pasti akan cukup mudahlah untuk diubati, untuk diatasi.
Susah atau senang, manis atau pahit, maka agama mesti digunakan untuk
berperang, mencegah dan membanteras penyakit dan gejala sosial. Antaranya jadual yang mesti diatur ialah para belajar diwajibkan belajar
di sekolah biasa pada sebelah pagi dan bersekolah agama, termasuk mengaji
al-Quran dan hadis di waktu petang. Mempelajari al-Quran dan hadis bukan
setakat dari segi bacaan supaya betul tetapi juga boleh memahami isi kandungannya
sehingga boleh ditafsir sedalam-dalamnya. Dengan kata lain dari peringkat prasekolah hingga ke sekolah menengah,
para pelajar perlu dipastikan memenuhkan masa mereka dengan jadual dan
program berkaitan pembelajaran mengenai ilmu-ilmu dunia dan akhirat. Sebenarnya sudah sampai masanya untuk negara memprogram, merencana, merangka
supaya setiap warganya bukan sahaja kaya dengan ilmu keduniaan tetapi
juga ilmu akhirat. Seorang pakar dalam bidang kejuruteraan misalnya mesti juga mahir dalam
ilmu al-Quran, hadis, fikah, tasawuf, usuluddin, tafsir, sirah dan sebagainya. Manakala imam-imam atau pegawai-pegawai agama pula tidak hanya alim tentang
al-Quran, hadis dan pelbagai hukum hakam tetapi mereka juga pakar dalam
matematik, sains, geografi, ekonomi, politik, sosial, perubatan, kejuruteraan,
fizik, biologi, kimia dan sebagainya. Biarlah bila imam sesebuah masjid
uzur umpamanya, maka seorang profesor boleh menjadi imam gantian dan menyampaikan
khutbah Jumaat. Jika usaha yang mungkin dianggap payah dan mustahil untuk menjadi realiti
ini diikhtiarkan tanpa rasa jemu dan mudah menyerah kalah. Maka selain
daripada masalah sosial dapat dibendung bilangan anggota polis juga boleh
dikurangkan. Mereka inilah yang akan menyumbang kepada pembentukan bangsa dan negara yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
|