Utusan
30 Jamadil Awal 1427
Pereka ‘hadis Melayu’ dibalas neraka
|
|
|
ROSLAN MOHAMED. |
AL-SUNAH dari segi bahasa bermaksud perjalanan, amalan,
metod atau cara hidup. Ia
juga bermaksud membuka atau merintis jalan sama ada yang baik atau yang buruk.
Al-Sunah dari segi istilah ahli-ahli hadis ialah apa-apa yang terbit daripada
Nabi Muhamad s.a.w. daripada perkataan, perbuatan, pengakuan, sifat, kejadian,
akhlak dan sejarah sama ada sebelum diutuskan menjadi Rasul atau selepas
diutuskan menjadi Rasul.
Malangnya masyarakat Melayu sering disogokkan dengan perkataan atau ungkapan yang didakwa sebagai hadis
sedangkan ia tidak mempunyai hujah yang kukuh. Ini dilabel
sebagai ‘hadis Melayu’. Yang membimbangkan, ‘hadis
Melayu’ ini seolah-olah diterima pakai dan menjadi pegangan agama oleh
sebahagian besar masyarakat Islam di Malaysia.
Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto IZHAM JAAFAR
menginterviu pensyarah Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian
Islam, Universiti Malaya, Roslan Mohamed untuk mengupas persoalan ini.
Apakah maksud ‘hadis Melayu’?
ROSLAN: ‘Hadis Melayu’ adalah perkataan yang bukan bersandar
atau disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.. Ia adalah ungkapan mengenai sesuatu perkara yang
kebanyakannya diambil daripada kitab-kitab Jawi lama ataupun banyak merujuk
kepada buku terjemahan dalam bahasa Melayu tanpa merujuk kepada naskhah asal
bahasa Arabnya.
Dalam konteks masyarakat
Bolehkah ustaz jelaskan contoh-contoh
‘hadis Melayu’ yang sering dianggap sebagai hadis Rasulullah s.a.w.?
Saya ingin menarik perhatian kepada satu
peristiwa di mana Rasulullah mendukung cucunya iaitu Hassan semasa mengimamkan
solat. Apabila sujud
baginda meletakkan cucunya di tepi dan apabila bangun semula, baginda mendukung
semula cucunya. Logiknya, jika kanak-kanak najis dan
tidak boleh berada dalam saf dewasa, tentu perbuatan Rasulullah itu tidak boleh
dilakukan.
Begitu juga dengan ungkapan ‘tuntutlah ilmu sampai ke
negeri China’, ‘cintakan negara adalah sebahagian daripada iman’, ‘kemiskinan
itu menghampiri kekufuran’ dan kata-kata sahabat bukan sabda Nabi iaitu
‘bekerjalah kamu seolah-olah seolah-olah kamu hidup seribu tahun lagi dan
beribadatlah kamu seolah-olah kamu mati esok hari’.
Semua ungkapan ini tidak ada sandaran
sebagai hadis. Persoalannya
kenapa kita tidak menggunakan hadis-hadis sahih yang diketahui sanadnya kerana
banyak lagi hadis yang turut membicarakan soal-soal yang disebut itu. Perbuatan begini boleh membawa kepada permulaan bidaah atau bidaah
saiyiah yang boleh membuat seseorang itu terkeluar akidahnya.
Mengapakah penyebaran ‘hadis Melayu’ ini
berlaku sedangkan kita tahu kesan daripada beriman kepada hadis palsu adalah
berdosa besar?
Perkara ini berlaku kerana beberapa
sebab. Sebab paling
utama ialah kurang kefahaman tentang ilmu Islam yang membawa kepada tidak
berapa kukuh punca nas dan tidak menapis punca ilmu. Ia
juga akibat kesilapan penceramah, ustaz dan ustazah yang kurang cermat apabila
membuat rujukan ilmu.
Penyebaran ‘hadis Melayu’ ini juga
berlaku kerana taklid semberono tanpa dipastikan kesahihan nas hadis tersebut. Masyarakat pula menerimanya kerana orang
yang menyampaikan perkara itu adalah ustaz, ustazah dan orang alim. Ia juga berlaku disebabkan kekurangan ilmu dalam bidang
hadis kerana hadis juga mempunyai pelbagai martabat ada yang hasan, mutawatir,
mauduk dan juga daif.
Satu lagi sebab ialah ketiadaan
pengawalan dan tapisan dari segi penerbitan buku-buku agama dalam bahasa
Melayu. Ini
menyebabkan banyak buku hanya merujuk kepada tulisan kitab-kitab rumi
semata-mata sehingga tidak membuat semakan kepada kitab yang asal dalam bahasa
Arab.
Rasulullah pernah memberi amaran dengan
sabdanya, Barang siapa yang berkata sesuatu yang aku tidak kata, bersedialah
tempatnya di neraka. (Riwayat Bukhari
dan Muslim)
Ini adalah natijah kepada mereka yang
mengada-ada atau mereka sesuatu dan mendakwanya sebagai hadis Rasulullah. Lebih buruk lagi, ada sebilangan
masyarakat yang memperjuangkan falsafah biar mati anak jangan mati adat
walaupun adat itu ada yang melanggar syariat.
Apakah kesan hadis Melayu terutama yang
melarang kanak-kanak berada dalam saf dengan orang dewasa dalam konteks
mendidik anak-anak bersolat?
Kepentingan solat telah ditegaskan oleh
Rasulullah dalam sabdanya, “Suruhlah anak-anak lelaki (dan perempuan)
sembahyang apabila mereka berumur tujuh tahun dan apabila berumur 10 tahun
pukullah mereka jika tidak bersembahyang.” (Riwayat Abu Daud)
Namun, ‘hadis Melayu’ ini membantutkan
usaha mendidik anak-anak dalam bersolat.
Membiarkan anak-anak dalam saf dengan rakan sebayanya tidak akan
membetulkan solatnya. Kerap kali kita melihat kanak-kanak
yang berada dalam kumpulannya bukan bersolat sebaliknya lebih kepada
bermain-main, menyiku rakan dan sebagainya. Sebaliknya, jika mereka
diletakkan di sebelah bapa mereka akan dapat belajar
cara sembahyang yang betul dari segi perbuatan rukuk, sujud dan sebagainya. Solat bersama bapa atau dalam saf dewasa lebih mudah mendisiplinkan
anak-anak supaya mereka mencontohi kaifiat solat yang betul. Malah di negara-negara Arab, kanak-kanak ini dapat dilihat bersolat
dalam saf dewasa.
Mula-mula mungkin kanak-kanak ini bermain tetapi
lama-kelamaan apabila sudah terdidik mereka akan
bersolat dengan betul. Apabila hal ini sudah tertanam dalam diri, sudah pasti
mereka akan menjadi generasi yang mengimarahkan
rumah-rumah Allah apabila dewasa kelak.
Barangkali ‘hadis Melayu’ itu timbul
akibat sikap ibu bapa yang tidak mengawal anak-anak semasa membawa mereka ke
masjid dan surau?
Bagaimanakah kita hendak membetulkan
persepsi masyarakat tentang ‘hadis Melayu’ ini?
Pertamanya ia memerlukan kerjasama
semua pihak terutama pihak berwajib dalam membezakan antara adat dengan ibadat.
Penjelasan ini perlu disusun rapi untuk memudahkan masyarakat
Islam. Semua pihak kena berlapang dada dan hikmah kerana perselisihan
memang dibenarkan dalam agama tetapi ia hanya terhad
kepada hal-hal yang furuk (cabang) bukan perkara qat’ie atau pokok. Ini dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud, Kemudian jika kamu
berselisih dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada
(kitab) Allah (al-Quran) dan (Sunah) Rasulnya – jika kamu benar beriman kepada
Allah dan hari akhirat. (An-Nisaa’: 59)
Pendakwah juga mesti amanah kepada ilmu. Sesuatu yang diterima itu perlu ada
kajian dan jangan diterima secara semberono. Ini
menunjukkan kepentingan berfikir. Imam Ghazali pernah
berkata, sesaat orang alim berfikir adalah lebih baik daripada bercakap
beberapa patah perkataan. Dengan kata lain,
kita perlu kembali kepada rujukan asal yang muktabar iaitu al-Quran dan hadis.
Khalayak atau para hadirin juga mesti berperanan sebagai
check and balance dengan bertanyakan soalan semasa mencari ilmu. Dalam kitab Tanbihulghafilin karangan Abu Lais Samarqandi ada
disebutkan adab menuntut ilmu iaitu orang belajar mesti mendapat sesuatu yang
betul daripada orang yang mengajar kerana adab belajar jangan menerima sahaja.
Kita juga perlu menerima hakikat yang kebenaran itu hanya
satu dan tidak berbilang-bilang sebagaimana yang dinyatakan oleh Saidina Ali
r.a.. Kalau ulama bertelingkah, masyarakat akan menjadi mangsa.